suria

Penyelarasan Subsidi, Langkah Berani Untuk Masa Depan - Najib

KUANTAN: Penyelarasan subsidi merupakan satu langkah berani yang diambil kerajaan bagi meletakkan ekonomi Malaysia di landasan kukuh pada masa depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, keputusan berkenaan bersifat jangka masa panjang yang bakal memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita mesti berani membuat keputusan yang bersifat meletakkan ekonomi negara di landasan lebih kukuh pada masa depan.

"Kalau kita fikir kesan jangka masa pendek sepanjang masa, maka kita bukan kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan sedemikian boleh membawa negara ke arah keadaan tidak menentu," katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, penyelarasan subsidi yang dilakukan kerajaan masih berpegang pada prinsip meminimumkan bebanan rakyat.

Katanya, rakyat negara ini sebenarnya masih membayar harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula jauh lebih rendah berbanding negara jiran.

"Sebagai contoh, gula di Malaysia RM1.90 sekilogram, tetapi di Thailand RM2.60 sekilogram, Indonesia RM3.68 dan Filipina RM3.46," katanya.

Menurut beliau, penyelarasan itu juga mempunyai hikmah kerana kebanyakan subsidi yang diberikan kerajaan bukan menguntungkan kumpulan sasar.

Najib berkata, dua pertiga subsidi bahan api ketika ini diperolehi golongan berpendapatan tinggi dan sederhana berbanding satu pertiga oleh golongan yang memerlukannya.

"LPG juga sebanyak 70 peratus merupakan mereka yang terlibat dalam perniagaan, hanya 30 peratus merupakan pengguna suri rumah," katanya.

Selain itu, katanya, penyelarasan subsidi gula pula dapat menangani masalah penyakit kencing manis yang menunjukkan trend berbahaya di negara ini.

Pada masa ini, 1.4 juta rakyat negara ini mengalami penyakit berkenaan yang memerlukan usaha bagi menanganinya.

Pada majlis berkenaan, Najib turut melancarkan Dasar Koperasi Negara 2011-2020 yang bakal memetakan hala tuju gerakan koperasi sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, bagi membantu koperasi dalam penyediaan modal untuk melaksanakan aktiviti ekonomi, kerajaan telah memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM100 juta melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada tahun ini.

Katanya, sebelum ini SKM telah menyediakan dana di bawah Tabung Modal Pusingan (TMP) berjumlah RM387 juta.

"Saya difahamkan SKM telah berjaya memberi pinjaman sebanyak RM668 juta kepada koperasi-koperasi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain