suria

Mangsa Bunuh Dicampak Di Sungai Klang

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dengan keadaan tangannya bermangga dan leher dibelit pita pelekat, dipercayai mangsa pembunuhan kejam, di Sungai Klang berhampiran Taman Datuk Harun, dekat sini, Jumaat.

Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mangsa warga tempatan dan berketurunan India dipercayai dicampak dalam sungai itu lebih satu hari sebelum ditemui pukul 8.45 malam tadi oleh orang ramai.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan kembung tersangkut di tebing sungai tersebut dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat dengan rantai besi serta bermangga manakala lehernya dibelit dengan sellotape.

"Mayatnya dipercayai dibungkus dengan selimut sebelum dicampak ke dalam sungai tersebut berdasarkan penemuan cebisan kain selimut di kakinya yang dirantai," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis tidak menemui sebarang tanda berlakunya pergelutan di kawasan mayat itu ditemui yang menunjukkan kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di lokasi itu.

Katanya, polis juga belum dapat mengenal pasti identiti mangsa yang dipercayai berusia 30-an kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

"Kita akan menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti motif dan menjejaki suspek yang terlibat dalam pembunuhan kejam ini. Kita tunggu laporan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran. -BERNAMA

Artikel Lain