suria

Lelaki Dipercayai Pengedar Dadah Di Pekan Diberkas

PEKAN: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah di sekitar Pekan ditahan selepas didapati memiliki 280 gram dadah jenis heroin.

Ketua Polis Pekan Supt Yahaya Othman berkata suspek berusia 19 tahun, kini ditahan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dalam kejadian 1 petang dua hari lepas, lelaki berkenaan ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Shah Bandar dan hasil pemeriksaan awal, pihak polis menemui satu paket dipercayai dadah jenis heroin," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Suspek kemudiannya membawa pihak polis ke rumah sewanya di Peramu Jaya.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis telah menjumpai 1 plastik hitam yang mengandungi 150 paket plastik lutsinar dipercayai heroin, semua heroin berkenaan dianggarkan berjumlah 280 gram dan dianggarkan bernilai RM15,000," katanya.

Beliau berkata pihak polis turut menemui alat timbang elektronik dan bungkusan plastik yang berisi plastik-plastik kecil yang masih belum digunakan di bahagian dapur rumah tersebut.

Pihak polis percaya penahanan lelaki berkenaan akan dapat membendung pengedaran dadah di kawasan Pekan. - BERNAMA

Artikel Lain