suria

Jasa Jalankan Tinjauan Perbaiki Taraf Hidup Masyarakat India Di Ladang

KUALA LUMPUR: Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan melaksanakan tinjauan kemasyarakatan bagi memperbaiki taraf hidup masyarakat India yang tinggal di kawasan ladang, bermula di negeri Selangor.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tinjauan yang akan dilakukan dalam masa terdekat itu adalah salah satu cara untuk menjalin persefahaman yang lebih jelas dengan masyarakat dalam persekitaran perladangan.

"Kerap kali kita dengar bahawa masyarakat India berada dalam keadaan yang memerlukan perjuangan dan pertolongan, tetapi kita tak dapat melihatnya melalui jendela kemasyarakatan yang ada dan berbuat sesuatu mengenainya.

"Kami ingin melihat ini sebagai tinjauan yang boleh membuka beberapa jendela persefahaman yang baru selain melihat bagaimana kita boleh berinteraksi dan memperbaiki cara hidup mereka yang berada dalam persekitaran perladangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rapat 1Malaysia di dataran Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Batu Caves di sini pada Sabtu.

Karnival anjuran Jasa itu turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan disertai lebih 5,000 masyarat pelbagai kaum terutamanya masyarakat India sekitar Lembah Klang.

Rais berkata apabila tinjauan itu selesai, Jasa akan memaklumkan kepada kerajaan mengenai apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki taraf hidup masyarakat berkenaan.

Mengenai bancian Merdeka Centre baru-baru ini yang menyaksikan tahap kepuasan hati terhadap prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak paling tinggi dicatatkan oleh kaum India, Rais berkata jentera kerajaan tidak harus terlalu berpuas hati terhadap keputusan bancian tesebut.

"Apa yang harus kita lakukan selepas ini ialah 'sentuhan rakyat' iaitu kita perlu lihat bagaimana hubungan antara masyarakat dengan dasar kerajaan dapat satu persefahaman dan sentuhan yang benar-benar akrab.

"1Malaysia harus dapat diterjemahkan bukan saja menerusi retorik atau penceritaan tetapi juga menerusi layanan kita kepada rakyat," katanya.

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre dari 6 hingga 16 Mei itu, tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri meningkat 72 peratus Mei lepas berbanding 69 peratus pada April lepas.

Tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan Cina (58 peratus).

Sementara itu, Rais menganggap penganjuran karnival berkenaan sebagai sangat berjaya oleh kerana jumlah pengunjung yang ramai selain kerjasama 45 badan bukan kerajaan bagi menjayakan karnival itu.

"Petang ini kita dapat melihat masyarakat India sebenarnya satu kumpulan yang sentiasa bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan yang membawa kepada peralihan dan transformasi kehidupan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain