suria

Hypermarket Disaran Beroperasi Sehingga Waktu Petang Sahaja

KOTA BHARU: Seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencadangkan agar hypermarket di negara ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga waktu petang.

Felo Kanan UMK Dr Kassim Buhiran berkata langkah itu bagi memastikan pengusaha runcit lain berpeluang menjalankan perniagaan mereka.

"Fenomena kini menyaksikan pasaran runcit seperti pasar mini di negara ini agak ketinggalan kerana kebanyakan masyarakat memilih untuk membeli belah barangan keperluan di hypermarket berbanding di kedai runcit atau pasar mini.

"Ianya perlu dibendung bagi memberi peluang peniaga pasar mini atau kedai runcit yang terdiri daripada rakyat tempatan mencari dan melebarkan peluang perniagaan mereka," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Siri Ceramah Umum UMK mengenai Persaingan Industri Makanan Halal Di Malaysia: Isu dan Cabaran di sini.

Kassim mengambil contoh pasaraya di Cologne, Jerman yang hanya beroperasi sehingga pukul 6 petang selain ditutup pada hujung minggu dan cuti umum bagi memberi peluang kepada peniaga kecil beroperasi.

"Pada pandangan saya sekiranya ia turut dilaksanakan di negara kita, ia akan menjadi satu platform kepada usahawan tempatan yang mengeluarkan produk kecil-kecilan menerusi kedai runcit atau pasar mini akan dapat meningkatkan perniagaan mereka dalam pasaran yang lebih meluas," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain