suria

Adat Pepatih Perlu Terus Dipelihara

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah Adat Perpatih harus dipelihara dan dikekalkan kerana di dalamnya terkandung nilai pengajaran yang murni sebagai panduan hidup dalam sebuah negara yang aman dan merdeka.

"Walaupun zaman berubah tetapi segala yang dipusakai dan diwarisi oleh datuk nenek moyang harus kita pelihara dan kekalkan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Pesta Persukuan Adat Perpatih dan Masakan Tradisional Negeri Sembilan 2010 di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dekat sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama ialah Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Datuk Andika Ujang dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Mohammad Razi Kail.

Tuanku Muhriz turut melahirkan rasa bangga dengan usaha kerajaan negeri menganjurkan program tahunan itu kerana melaluinya akan memberi peluang kepada masyarakat dan generasi muda hari ini mencintai dan menghargai Adat Perpatih sebagai khazanah yang amat tinggi nilainya sebagai peraturan hidup bermasyarakat.

Selain itu, titah baginda lagi usaha penerbitan buku Adat Perpatih mahu pun apa juga bentuk pendokumentasian melalui sokongan pihak yang terlibat dalam Adat Perpatih akan dapat memastikan ia terus unggul dan perkasa.

Baginda juga berharap kerjasama erat di kalangan luak-luak melalui pertemuan dalam pesta ini akan terus segar dan berakar umbi dengan satu semangat dan tekad untuk memastikan Adat Perpatih terus hidup subur sepanjang zaman.

Sementara itu, Mohammad Razi berkata pada tahun depan, Lembaga Muzium Negeri akan menerbitkan buku mengenai luak-luak sebagai tambahan bahan ilmiah dalam bidang berkaitan, di samping yang sedia ada.

Katanya, penerbitan bahan seumpama itu adalah dasar utama Lembaga Muzium Negeri dalam memastikan keunggulan Adat Perpatih sebagai satu daripada ilmu pengetahuan utama di negeri ini khususnya dan negara amnya dalam menongkah arus pembangunan yang pesat.

"Kita juga berharap Adat Perpatih ini dapat disebarluaskan pada masyarakat luar agar mereka dapat memahami lebih tepat mengenai adat kita, jangan disalahertikan memberi persepsi yang tidak baik," katanya.

Pada pesta dua hari itu, para pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan bagaimana adat itu dilaksanakan dan merasai keenakan makanan tradisional melalui demonstrasi, tetapi juga disajikan dengan pelbagai program seperti pameran, persembahan kesenian dan pertandingan permainan tradisional.-BERNAMA

Artikel Lain