suria

PGA Rampas 36 Guni Benih Kerang Yang Cuba Diseludup

BUKIT KAYU HITAM: Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki yang cuba menyeludup benih kerang ke Thailand bernilai RM10,800 dalam dua tangkapan berasingan di pusat pemeriksaan Bukit Kayu Hitam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor Supt Roslan Md Noor berkata dalam kes pertama pada 3 Julai lepas, seorang lelaki berumur 40-an ditahan ketika cuba memasuki Thailand kerana membawa 20 guni benih kerang dengan berat 665 kg bernilai kira-kira RM6,000.

"Lelaki yang menaiki kereta jenis Honda itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kes kedua melibatkan seorang lelaki berumur 35 tahun ditahan atas kesalahan yang sama iaitu cuba menyeludup 16 guni benih kerang dengan berat 560kg bernilai RM4,800 kira-kira pukul 7.15 petang semalam.

"Lelaki yang manaiki kereta jenis Proton itu juga ditahan semasa melalui pusat pemeriksaan Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand," katanya.

Roslan yang merupakan Pegawai Medan Operasi Bukit Kayu Hitam berkata hasil pemeriksaan mendapati benih kerang itu dibawa dari Perak dan akan dijual di pasaran Thailand.

"Seguni benih kerang yang mempunyai berat 35kg akan dijual dengan harga RM350 di pasaran Thailand. Guni-guni benih kerang itu diletakkan dalam but kereta, tempat duduk belakang dan tempat duduk sebelah pemandu. Kereta-kereta itu telah diubahsuai supaya boleh memuatkan guni-guni tersebut," katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki rakyat tempatan itu disiasat di bawah Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985.

"Benih-benih kerang itu telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain