Syarat Baru Tarik Kenderaan Bila Akta Dipinda - Semasa | mStar

Syarat Baru Tarik Kenderaan Bila Akta Dipinda

KUALA LUMPUR: Institusi kewangan tidak dibenarkan untuk menarik kenderaan yang gagal membuat bayaran bulanan sekiranya penyewa telah melunaskan lebih 75 peratus daripada jumlah pinjaman sewa belinya apabila Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 diwartakan kelak. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan pindaan syarat itu, institusi kewangan perlu mendapatkan perintah mahkamah sebelum boleh menarik kenderaan tersebut.

"Pemunya (institusi kewangan) hanya boleh melaksanakan proses pengambilan semula melalui perintah mahkamah jika penyewa (pemilik kenderaan) telah membayar lebih daripada 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli berasaskan bayaran ansuran bulanan mereka," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 berkata, sebelum ini kerajaan hanya menetapkan syarat 'satu pertiga' ke atas pemunya (institusi kewangan) berhubung dengan pemilikan semula di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Perundangan sekarang menjelaskan pengambilan semula barangan oleh pihak pemunya boleh dilaksanakan apabila penyewa gagal menjelaskan bayaran ansuran sebanyak dua kali dan notis bertulis telahpun diserahkan kepada pihak penyewa.

"Antara keperluan threshold (sewa beli) ini dipinda bagi mengelakkan pertambahan bebanan kes di mahkamah sekiranya threshold terdahulu dikekalkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, perubahan threshold itu juga dilihat akan membantu rakyat bagi mendapatkan pinjaman kenderan daripada industri perbankan dengan mudah memandangkan syarat terkini lebih munasabah dan praktikal.

Bagaimanapun beliau berkata pemunya boleh melaksanakan pengambilan semula barangan tanpa perintah mahkamah, jika penyewa membayar kurang 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli.

Mengenai isu penarik kereta, Ismail Sabri berkata rang undang-undang itu turut mencadangkan kaedah pemberian permit diperkenalkan bagi mengawal selia aktiviti pengambilan semula oleh penarik kenderaan.

Katanya, bagi memastikan aktiviti pengambilan semula itu dibuat dengan beretika, kerajaan meningkatkan penalti daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali kepada denda tidak melebihi RM100,000 terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan akta berkenaan. Selain itu, denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan terhadap orang perseorangan yang melakukan kesalahan sama.

Ismail Sabri juga berkata, rang undang-undang itu bertujuan mengatasi masalah dalam amalan membayar wang tempahan untuk kenderaan yang ditempah.

"Masalah timbul apabila terdapat segelintir pihak yang menggunakan kelemahan perundangan sedia ada dengan tidak mengembalikan semula 'booking fees' (wang pendahuluan) sekiranya terdapat pembatalan penempahan. Terdapat juga kes di mana ejen menipu orang ramai dengan menggelapkan kesemua 'booking fees' daripada pelanggan yang berurusan dengan mereka," katanya.

Selaras itu, pindaan akta berkenaan memperuntukkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak pengedar kenderaan untuk memulangkan semula bayaran tempahan sekiranya terdapat pembatalan dari mana-mana pihak selain menjadikan bayaran tempahan sebagai sebahagian daripada bayaran deposit.

Rang Undang-Undang itu kemudian diluluskan. Persidangan dewan bersambung esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain

Bapa Wan Azizah meninggal dunia

Vardy catat rekod gol luar biasa EPL