suria

Pindaan Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007 Bukan Atas Tekanan Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007 dibuat berdasarkan perkembangan keadaan semasa dan bukan kerana menerima tekanan antarabangsa, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, peruntukan baru perlu diwujudkan untuk menangani jenayah itu termasuk penyeludupan migran yang merupakan gejala rentas sempadan yang amat berleluasa pada masa kini.

"Oleh kerana jenayah pemerdagangan orang dan jenayah penyeludupan migran adalah saling berkait, maka dicadangkan akta itu dipinda untuk menjadikannya lebih komprehensif bagi memperkukuhkan rangka kawal selia untuk menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan mingran dengan lebih berkesan," katanya.

Hishamuddin berkata, demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Antipermerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran kian meningkat bagi negara-negara rantau Asia Tenggara yang merupakan jalan perantaraan paling senang ditembusi untuk ke negara ketiga seperti Australia, Amerika Syarikat dan Eropah.

"Kesukaran memantau persempadanan Malaysia yang panjang dan kurang berpenghuni telah menyumbang kepada pilihan Malaysia sebagai negara transit yang strategik oleh sindiket-sindiket haram ini," katanya.

Beliau berkata, melalui pindaan itu juga pemakaian akta sedia ada turut diperluas untuk merangkumi mereka yang berada di dalam dan luar negara tanpa mengira kerakyatan.

"Sama ada negara yang terlibat adalah negara transit atau negara penerima, pindaan ini akan membolehkan tindakan diambil di bawah akta ini," katanya.

Hishamuddin berkata, turut terkandung dalam pindaan akta itu ialah peruntukan khas bagi menangani jenayah penyeludupan migran bagi memastikan sindiket serta individu yang terlibat dalam menyeludup migran tidak terlepas daripada tindakan penguatkuasaan. "Kerajaan juga prihatin dan peka terhadap suara, pandangan dan permintaan negara-negara destinasi dan pertubuhan bukan kerajaan agar Malaysia memperhebat usaha melindungi mangsa yang diperdagangkan serta meningkatkan tindakan tegas terhadap penyeludup terbabit," katanya.

Menyentuh isu berkaitan pemerdagangan buruh pula, Hishamuddin berkata, pindaan akta itu turut mencadangkan supaya Pegawai Buruh dilantik sebagai pegawai penguatkuasa dengan kuasa untuk menjalankan penyiasatan bagi apa-apa kesalahan di bawah akta itu. Berhubung isu kelemahan agensi penguatkuasaan dalam menangani aktiviti pemerdagangan orang, beliau berkata, kementerian telah meminta Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja dan pendatang asing tanpa izin untuk mengkaji prosedur operasi standard (SOP) semua agensi penguatkuasaan untuk memastikan ia kekal relevan.

"Kita akan pastikan setiap agensi penguatkuasaan mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, daripada Januari sehingga Julai tahun ini seramai 83 orang telah disabitkan atas pelbagai kesalahan di bawah akta berkenaan.

Persidangan Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan rang undang-undang itu selepas majoriti anggota Parlimen bersetuju dengan pindaan yang dicadangkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain