suria

Pesakit Buah Pinggang Edar Dadah Dihukum Mati

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori yang menghidap penyakit buah pinggang dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, setelah disabitkan bersalah mengedar dadah di sebuah rumah, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap A. Sukumaran, 35, selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh secara bersumpah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas pertuduhan yang dihadapi.

Mohtarudin yang mendengar keterangan enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan berkata, adalah jelas tertuduh mempunyai pengetahuan dan pemilikan eksklusif dadah yang ditemui di bilik rumah bersama alat penimbang dan paket-paket plastik kosong.

Beliau juga menolak pembelaan tertuduh yang mengatakan bahawa dia sekadar meminjamkan kad pengenalan dan menandatangani perjanjian sewa rumah untuk ‘Ah Meng’ kerana terhutang budi kepada lelaki itu yang menjelaskan bil rawatan hospitalnya.

Menurut tertuduh lagi, Ah Meng yang telah disenaraihitamkan meminta tertuduh untuk berada di rumah itu pada hari kejadian.

Bagaimanapun Mohtarudin berkata, amat malang untuk tertuduh kerana gagal memberikan nama penuh, alamat mahupun nombor telefon Ah Meng ataupun mereka yang dapat menyatakan kedudukan lelaki itu yang dikatakan memiliki 27 buah kedai gambar.

“Jika benar Ah Meng yang mengajak tertuduh untuk menjaga bilik itu, sudah pastilah dadah akan disimpan tersorok. Tetapi dalam kes ini, dadah di dalam bilik yang tidak terkunci.

“Beberapa pakaian yang terdapat dalam bilik itu juga telah dicuba pakai terhadap tertuduh dan didapati sesuai dengannya,” katanya.

Dalam kes ini, Sukumaran didakwa mengedar 250.9 gram kilogram dadah terdiri daripada heroin dan monoacetylmorphine pada pukul 4.30 petang, 23 Februari 2006 di rumah nombor A3-3-4, Pelangi Court, Jalan Pekan Meru, Klang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding itu, tertuduh diwakili peguam Kartar Singh yang menyebut bagi pihak peguam Gurbachan Singh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain