suria

Pasukan ATM Ke Afghan Bukan Untuk Berperang Tapi Bangunkan Prasarana Perubatan...

MELAKA: Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)dalam membantu mengatasi masalah kesihatan rakyat Afghanistan, merupakan pengiktirafan peringkat antarabangsa terhadap kemampuan angkatan tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Afghanistan telah memohon kepada Malaysia agar menghantar pasukan perubatan ATM bagi membantu mengatasi masalah itu.

"Kita menghantar kumpulan perubatan ini bagi menterjemahkan keprihatinan kita terhadap masalah kesihatan yang dihadapi oleh rakyat Afghanistan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Bukit Katil di sini, malam Rabu.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas penghantaran satu kontinjen 40 anggota ATM bagi membantu membina semula prasarana kesihatan dan bantuan perubatan di Wilayah Bamyan, Afghanistan.

Mereka yang akan bertolak ke Afghanistan hari ini, terdiri daripada 10 pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat daripada pasukan Perubatan, pasukan Pergigian serta Elemen Keselamatan Am dan Tadbir di bawah misi Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan.

Ditanya mengenai usaha menjalin kerjasama Umno dan PAS bagi memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno, berkata beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun, beliau berkata orang Melayu keseluruhannya perlu sama-sama memberi komitmen ke arah memperkukuhkan perpaduan kaum tersebut.

"Bukan hanya serah kepada orang politik untuk menentukan kesepakatan ini, ia perlu dibuat secara holistik dan bukannya hanya aspek tertentu sahaja," katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua Umno bahagian Bukit Katil.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain