suria

MCA Terbuka Cadangan Kerjasama Umno - PAS

PULAU PINANG: MCA bersikap terbuka dan tidak mempunyai sebarang masalah jika Umno dan Pas ingin berbincang dan bekerjasama demi pembangunan agama dan ummah.

"Kita melihat apa intipati yang dibincangkan dan kalau demi nak bangunkan negara, dari soal agama dan sebagainya, saya tak nampak apa masalahnya.

"Tapi yang penting kita perlu melihat dalam konteks masyarakat majmuk," kata Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun sekolah dan Kolej Han Chiang di sini, Khamis.

Isnin lepas, akhbar memetik anggota Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman Nor Adam sebagai berkata bahawa hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan Umno bersatu.

Ekoran itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno sedia berbincang dengan Pas sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama manakala Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dilaporkan memberikan respon yang positif.

Wee, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata Muhyiddin telah memberi jaminan bahawa jika perbincangan itu diadakan, ia adalah mengenai perpaduan ummah.

"Tidak ada agama suruh kita berpecah, jika kita nak bersatu, itu tidak ada masalah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain