Khairy Dakwa Yayasan Dipengerusi Anwar Terima Dana Amerika - Semasa | mStar

Khairy Dakwa Yayasan Dipengerusi Anwar Terima Dana Amerika

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata, Yayasan Masa Hadapan (FFF) yang dipengerusikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2006 pernah menerima dana AS$21.3 juta daripada Amerika Syarikat.

Khairy berkata, laporan Projek Kebertanggungjawaban Kerajaan (GAP) Amerika Syarikat yang dikeluarkan awal tahun ini menyatakan yayasan berkenaan menerima dana AS$21.3 juta (RM68.23 juta) yang disalurkan melalui Kongres Amerika bagi membiayai yayasan itu.

"Kongres Amerika sudah mengeluarkan AS$21.3 juta untuk yayasan itu dan ini jelas bertentangan dengan kenyataan Anwar pada 2007 yang mendakwa tidak ada langsung dana yang diberikan Amerika kepada FFF.

"Tindakan beliau itu seolah-olah mahu menutup peranan Amerika dalam membiayai yayasan yang diterajuinya itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Khamis.

Yayasan berkenaan merupakan badan bebas yang ditubuhkan pada 2005 untuk membangunkan demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Khairy berkata, laporan GAP yang ditulis berdasarkan 267 dokumen yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika juga menyatakan Anwar turut memberi akuan tidak tepat kepada Kongres dalam usaha mendapatkan dana berkenaan.

Bagi mendapatkan dana itu, Kongres menetapkan FFF mesti mendapat dana secocok daripada negara lain, sedangkan laporan FFF menunjukkan yayasan itu hanya memperoleh kurang daripada AS$6.4 juta (RM20.49 juta), berbanding AS$22.26 juta (RM71.29 juta) yang ditetapkan, katanya.

"Beliau dituduh memberi akuan tidak tepat kepada Kongres kerana dalam perjanjian dengan kerajaan Amerika, beliau sebagai pengerusi menyatakan yayasan berkenaan mendapat komitmen daripada kerajaan lain termasuk Qatar dan negara Timur Tengah tapi sebenarnya tidak dapat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Kes Jual Bayi: Tiga Lagi 'Diselamatkan'

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Manchester United pecat Mourinho!