suria

Kerjasama Umno-PAS Selesakan Rakyat - Wakil BN

KUALA LUMPUR: Cadangan pelbagai pihak supaya Umno dan PAS menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang mendapat reaksi positif anggota Parlimen Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata menerusi kerjasama itu, ia bukan sahaja dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan pemimpin, bahkan dapat mengurangkan gejala 'politiking' dan mengikat semangat perkauman.

"Kerjasama ini perlu dilihat secara positif dan bukan perkauman semata-semata sebab ia boleh membawa kepada kestabilan negara dan gejala politiking akan berkurang.

"Bila kurang politiking, kuranglah gelora dan kuranglah panas, maka rakyat akan lebih selesa," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen di sini pada Khamis.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Julai bahawa Umno bersedia menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk mengukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata dalam mencapai matlamat tersebut para pemimpin perlulah terlebih dahulu membuka minda mereka dan ikhlas serta mengetepikan segala perbezaan idea yang wujud antara kedua belah pihak.

"Kena fikir apa matlamat serta niat utama bagi mencapai misi tersebut. Jangan pula buat pendedahan dan perbezaan antara satu sama lain sebab cara sebegitu tidak akan bawa kemana-mana," katanya.

Pandangan serupa disuarakan Anggota Parlimen Silam, Salleh Kalbi yang mengatakan para pemimpin perlulah terlebih dahulu ikhlas dalam penyatuan ini kerana ia adalah intipati dalam memastikan pembangunan negara secara holistik, tercapai.

"Para pemimpin menjadi cermin kepada masyarakat dan mereka perlu ikhlas dalam hal ini. Jika para pemimpin bersatu dan berpolitik demi kesejahteraan rakyat, maka rakyat dengan sendirinya akan bersatu dan ini sekaligus dapat memantapkan kejayaan negara secara keseluruhannya," katanya. Sementara itu Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, beliau menyambut baik kerjasama tersebut jika ia membawa kebaikan untuk semua pihak.

"Kalau kerjasama itu datang dengan kebaikan, kita sangat mengalu-alukannya sebab perpaduan itu adalah lebih penting daripada pergaduhan," kata Naib Pengerusi Kelab Penyokong BN itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain