Hakim Wanita Syarie Perlu Dilantik Di Semua Negeri - Shahrizat - Semasa | mStar

Hakim Wanita Syarie Perlu Dilantik Di Semua Negeri - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerajaan negeri perlu melantik wanita sebagai Hakim Syarie selaras dengan tindakan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, ini mampu dilakukan kerana terdapat ramai wanita yang berkebolehan dan berkemampuan dilantik ke jawatan tersebut.

"Kita minta agar perkara ini diberi perhatian dan usulnya dipersembahkan untuk perkenan ke bawah duli Sultan dan Raja-raja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama pada persidangan 'Work-Life Balance' dianjurkan oleh Institut Pengupayaan Wanita Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) di sini pada Selasa.

Beliau juga berharap Rafidah Abdul Razak, 39, dan Surayah Ramlee, 31, yang dilantik baru-baru ini sebagai Hakim Syariah Persekutuan dapat diberikan tanggungjawab yang sepatutnya dan "tidak hanya terbatas kepada satu atau dua perkara sahaja".

Menyentuh mengenai dakwaan terbaru bahawa terdapat tujuh wanita kaum Penan dirogol oleh pembalak di Baram, Sarawak, Shahrizat berkata polis masih meneruskan siasatan berhubung isu itu dan mereka sedang memberi kerjasama penuh dalam hal ini.

"Kita akan pastikan setiap maklumat yang diterima dipandang serius. Kita juga minta kerjasama mereka yang terlibat untuk tampil memberi maklumat," katanya.

Beliau berkata, kementerian itu tidak sesekali memandang remeh isu tersebut dan meminta siasatan dilakukan dengan secepat mungkin, agar mereka yang bersalah dapat dikenakan hukuman yang sewajarnya. "Kita juga akan menempatkan kakitangan kebajikan yang akan bertanggungjawab tentang keselamatan mereka selain daripada pihak polis dan hospital sedia ada," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Bekas Jaguh Badminton Tukar Gelanggang

Artikel Berikut

Harga Minyak Naik 5 Sen Mulai Esok

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Mereka tidak layak cakap pasal hoki"