suria

Seorang Anggota Polis Mati, Empat Lagi Cedera Bom Meletup Semasa Latihan

KAMPAR: Seorang anggota polis terkorban manakala empat yang lain cedera, seorang daripadanya parah, apabila terkena letupan bom ketika sedang menjalani latihan di Lapang Sasar IPD Kampar di sini hari ini.

Anggota yang maut ialah Sarjan Saidin Mohd Dom, 54, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang.

Bercakap kepada pemberita di Hospital Kampar, Zakaria berkata anggota polis itu meninggal dunia kira-kira sejam selepas dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Anggota polis yang parah, Sarjan Saat Salleh juga dari Taiping dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selepas menerima rawatan awal di Hospital Kampar, katanya.

Tiga lagi mangsa, Sarjan Zulkifli Ijum dari IPD Ipoh, Lans Koperal Mohd Nor Firdaus dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Koperal Kamaruddin Ismail dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam, Ipoh menerima rawatan pesakit luar.

Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 50-an.

Zakaria berkata mangsa adalah antara 40 anggota dari seluruh Perak yang sedang menjalani Kursus Pemusnah Bom di lapang sasar berkenaan sejak pagi tadi.

Difahamkan, lima anggota terbabit sedang memeriksa sebiji bom yang tidak meletup apabila kejadian itu berlaku.

Jenazah Saidin dihantar ke HRPB untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain