IPOH: Mayat seorang wanita yang rentung dijumpai di tepi jalan di Km 45 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland dekat sini, Rabu.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mayat wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang dipercayai berbangsa India itu ditemui oleh orang awam pada kira-kira pukul 7.30 pagi. Katanya, kesan luka ditemui di bahagian kepala wanita itu, dipercayai akibat ditetak dengan senjata tajam, dan wanita itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan itu.Bercakap kepada pemberita di sini, Dzuraidi berkata, tiada pengenalan diri dijumpai, dan mayat wanita itu sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA