suria

Ketua Hakim Negara Saran Hakim Teliti Sistem Pilihan Raya Negara Lain

JAKARTA: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, semua hakim perlu belajar mengenai sistem pilihan raya di negara-negara lain.

"Demokrasi yang diuruskan oleh rakyat untuk rakyat hanya boleh dicapai menerusi pilihan raya yang telus.

"Walaupun begitu, jika sesiapa berasa prejudis, sama ada pengundi atau pun calon, maka dia mempunyai tempat untuk memfailkan petisyen atau aduan di mahkamah," kata Zaki ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk '"Concept of Electoral Systems in Comparison" pada Persidangan Hakim-Hakim Mahkamah Perlembagaan Asia di sini, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono ketika merasmikan persidangan itu bahawa pilihan raya yang dijalankan secara adil dan teratur menerusi undian rahsia adalah penting bagi kewujudan demokrasi.

Zaki memberitahu persidangan itu bahawa di Malaysia, petisyen pilihan raya difailkan di Mahkamah Tinggi dan kes itu didengar oleh hakim pilihan raya yang dilantik dari kalangan hakim Mahkamah Tinggi.

Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai petisyen pilihan raya boleh dibawa ke Mahkamah Persekutuan di mana tiga hakim kanan akan membuat keputusan muktamad, jelasnya.

Secara perbandingan, katanya, beberapa negara mempunyai sistem pilihan raya yang bersekadar dengan bilangan pengundi dan ia menjadi mandatori untuk warga negara mengundi.

Menurutnya di Malaysia, sistem pilihan raya mengikuti sistem 'first-past-the-post' iaitu hanya seorang calon dengan majoriti mudah boleh dipilih dalam satu kawasan undian.

Ia bukan wajib untuk mengundi di Malaysia, katanya, sambil menjelaskan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. - BERNAMA

Artikel Lain