suria

DAP Mahu Laporan Jawatankuasa Khas Rasuah Dibincang Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Loke Siew Fook (DAP-Rasah) telah memfailkan notis usul bagi membolehkan anggota Dewan Rakyat membahaskan Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2009 yang telah diedarkan kepada anggota dewan, Selasa.

Loke mengemukakan notis usul itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia petang Selasa.

Loke di dalam notis usulnya menggesa supaya laporan itu dibahaskan kerana menyifatkan banyak isu dan persoalan yang ditimbulkan dalam Laporan berkenaan masih tidak terjawab dan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap keberkesanan dan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, SPRM yang ditubuhkan pada 2009 untuk menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertujuan menjadi sebuah organisasi yang lebih bebas dan berkesan masih belum membuktikan kemampuannya untuk memerangi gejala rasuah di negara ini.

Terdahulu hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, laporan tahunan ini sudah diedarkan kepada anggota Parlimen dan Senator, dan mereka boleh membahaskan isu-isu dalam laporan itu di dewan.

Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2008 itu bertujuan menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selain menerima laporan tahunan SPRM dan ulasan daripada Lembaga Penasihat SPRM.

Radzi berkata antara cadangan jawatankuasa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah supaya kuasa pendakwaan kes rasuah diletakkan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukan di bawah Jabatan Peguam Negara, yang telah memberi jaminan akan mempertimbangkan cadangan tersebut.- BERNAMA

Artikel Lain