suria

Bicara Tuntutan Nafkah Anak AC Mizal Sambung Oktober

KAJANG: Perbicaraan permohonan tuntutan nafkah dua anak lelaki pengacara dan pelakon, AC Mizal oleh bekas isterinya, Shafnie Zainudin akan bersambung di Mahkamah Rendah Syariah di sini Oktober depan.

Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah pada prosiding, Selasa, menetapkan 4 dan 12 Oktober depan sebagai perbicaraan manakala 29 September pula ditetapkan sebagai tarikh untuk penyerahan dokumen berkaitan tuntutan.

Terdahulu, perbicaraan hanya berlangsung kira-kira 15 minit dengan keterangan Shafnie berhubung tuntutan pembelian insurans pendidikan anak terhadap bekas pengacara konsert Akademi Fantasia itu.

“Ia adalah berkaitan pendidikan anak di mana mereka boleh mengeluarkan wang tersebut selepas berusia 18 tahun untuk digunakan bagi melanjutkan pelajaran.

“Jika ada apa-apa berlaku pada saya, pihak insurans juga akan menanggung perbelanjaan mereka sehingga berusia 25 tahun,” katanya yang turut mengemukakan dokumen berkaitan insurans itu.

Peguam syarie AC Mizal, Siti Aishah Din yang sepatutnya menyoal balas Shafnie memohon penangguhan kerana mahu meneliti semua dokumen sebelum meneruskan perbicaraan.

“Saya beranggapan Shafnie masih akan disoal peguam syarienya hari ini (Selasa). Saya mempunyai banyak soalan untuk diajukan (kepada Shafnie). Tetapi masih banyak dokumen yang perlu diteliti sebelum saya berbuat demikian,” katanya.

Abdul Halim yang membenarkan penangguhan itu memberi peringatan kepada pihak-pihak supaya melakukan persediaan secukupnya bagi mengelakkan kes terpaksa ditangguhkan di masa hadapan.

Prosiding berlangsung dengan kehadiran kedua-dua pihak di mana Shafnie, 35, yang diwakili peguam syarie Azmi Tan Sri Rais ditemani ibunya.

AC Mizal, 39, atau Mizal Zaini juga hadir dengan memakai baju kemeja berwarna merah jambu dan berseluar hitam serta bersongkok.

Pasangan itu berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum sah bercerai pada 17 Oktober 2001.

Artikel Lain