suria

Syarikat Korek Pasir Di P.Pinang Nafi Bergiat Haram

NIBONG TEBAL: Soon Cent Sdn Bhd, syarikat yang menjalankan aktiviti melombong pasir Jalan Tasek Luar, Kampung Valdor di sini, hari ini menyatakan bahawa ia adalah pengusaha projek lombong pasir yang sah.

Pengurus Projek Soon Cent Sdn Bhd Kamaruddin Harun menyifatkan kenyataan lima Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kononnya syarikat itu menjalankan aktiviti mengorek pasir secara haram sebagai satu fitnah yang berniat jahat.

"Ingin saya tegaskan bahawa apa kami lakukan adalah mengikut peraturan di bawah Kanun Tanah Negara iaitu mana-mana negeri pernah ditadbir negeri selat (Melaka dan Pulau Pinang) tidak memerlukan kelulusan sekiranya tanah dimajukan adalah bergred tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tanah yang diusahakan itu adalah tanah gred A dan pihaknya juga sudah mendapat maklumat balas daripada MPSP pada Julai 2008 yang mengatakan mereka tidak mempunyai halangan bagi syarikat itu melaksanakan projek mengorek pasir.

Kamaruddin melahirkan rasa kesal dengan tindakan lima ahli majlis itu yang membawa rombongan wartawan ke tapak projek dan memberi gambaran yang salah kepada media.

"Mereka melawat tapak projek pada Sabtu lepas dan mengeluarkan kenyataan bahawa kerja mengorek pasir yang kami lakukan adalah haram dan ia satu fitnah yang telah menjejaskan imej syarikat sebagai pembekal pasir di negeri ini," kata beliau.

Katanya ekoran kenyataan berkenaan, banyak syarikat pembinaan yang sebelum ini mengambil bekalan pasir daripada syarikat itu termasuk pemaju projek landasan berkembar takut untuk mengambil pasir selepas membaca laporan negatif.

"Kami mahu lima Ahli Majlis MPSP berkenaan memberikan penjelasan kenapa mereka membuat tuduhan terhadap kami. Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata syarikat itu juga mahu MPSP memberi penjelasan mengenai tindakan menyita tapak projek tanpa sebarang notis pada 9 Julai lepas.

"Tetapi mengapa semalam kira-kira pukul 4.50 petang, anggota penguatkuasa datang secara tergesa-gesa, membuka tali sita dan mengambil semula papan tanda MPSP tanpa memaklumkan secara lisan atau bertulis kepada kami," katanya.

Kamaruddin berkata akibat tindakan lima ahli majlis MPSP itu syarikatnya terpaksa memberhentikan kerja mengorek pasir kerana keliru dan syarikat kini menanggung kerugian sekitar RM10,000 sehari.

Ketua Menteri Lim Guan Eng pula berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memantau dan menyiasat aduan mengenai kegiatan megorek pasir itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain