suria

Pindaan Ke Atas Akta: Ah Long Boleh Didenda Sehingga RM1 Juta

KUALA LUMPUR: 'Ah Long' yang ditahan kerana menjalankan aktiviti memberikan pinjaman wang tanpa lesen akan dikenakan denda sehingga maksimum RM1 juta manakala para 'kaki' mereka yang menggunakan kekerasan dan pelbagai taktik untuk menakutkan orang-ramai boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Perkara ini terkandung dalam cadangan pindaan ke atas Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, Isnin oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

Di bawah peraturan yang ada sekarang, mereka yang membantu 'Ah Long" untuk menjalankan kerja-kerja memeras ugut atau menggunakan ancaman kekerasan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau 12 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Pindaan ke atas akta berkenaan juga akan memberikan lebih kuasa kepada polis dan juga pihak berwajib menjalankan pencegahan ke atas mereka yang menyalahgunakan lesen ini.

Salah satu daripada peraturan baru yang dicadangkan ialah untuk para pemegang lesen supaya mempamerkan lesen mereka pada setiap masa.

Pindaan yang dicadangkan itu juga turut mencegah para pemegang lesen daripada melantik agen untuk menarik orang-ramai daripada meminjam wang.

Pihak polis juga akan diberikan lebih kuasa untuk memeriksa mana-mana premis yang disyaki menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa perlu mengeluarkan notis terlebih dahulu, membuat tangkapan tanpa waran dan untuk merampas rekod atau dokumen mahupun data yang terkandung di dalam perisian komputer untuk tujuan pemeriksaan dan siasatan.

Pindaan ke atas akta itu juga akan secara spesifik menyebut yang ditafsirkan sebagai urusan memberi pinjaman wang ialah apabila terdapatnya bukti pemberian diberikan dengan mengenakan caj faedah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain