suria

Perintah Agong Tetap Ada Kesan Walau Tak Diwartakan

KUALA LUMPUR: Perintah yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan tetap mempunyai kesan dan boleh berkuat kuasa mengikut undang-undang walaupun tidak diwartakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz.

Beliau berkata, sekiranya perintah yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong itu tidak diwartakan, tidak bermakna bahawa perintah tersebut tidak mempunyai sebarang kesan dan tidak berkuatkuasa.

Nazri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya sama ada perintah yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan mempunyai kesan dan berkuatkuasa tanpa perlu diwartakan terlebih dahulu.

Menurut Mohamed Nazri, perintah yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan untuk makluman umum dan disebabkan oleh sifat perintah itu sendiri.

"Sebagai contoh, pelantikan Hakim Mahkamah Sesyen di bawah Subseksyen 59(3) Akta Mahkamah rendah 1948 memperuntukkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Hakim Besar.

"Meskipun tiada kehendak di bawah Subseksyen 59(3) Akta 92 untuk mewartakan pelantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ini, namun pelantikan tetap diwartakan untuk makluman umum," katanya.

Mohamed Nazri berkata, perkara sama turut terpakai dalam konteks negeri, contohnya apabila Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri mengeluarkan perintah untuk menjaga kesucian agama Islam dan institusinya.

"Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12 Enakman Jenayah Syariah (Selangor) 1995," ujarnya.

Katanya lagi, seseorang yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, keputusan untuk mewartakan sebarang perintah yang dikeluarkan oleh Sultan di peringkat negeri adalah tertakluk kepada penilaian Kerajaan Negeri berkenaan sama ada perintah itu perlu diwartakan atau sebaliknya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain