suria

Mercun, Beras Siam Bernilai RM6,000 Dirampas Di Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ketujuh berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api beserta beras Siam di sebuah stor lama di sini, pagi semalam.

Pegawai Pemerintahnya Supt Mohamad Khalid Wahab berkata rampasan pada pukul 7.55 pagi di kawasan Kedai Lama di sini, membabitkan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM6,127.50 yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand.

"Anggota kami telah membuat intipan selama dua jam yang akhirnya membuat keputusan memecah masuk stor berkenaan yang menjumpai mercun dan beras tersebut.

"Kesemua rampasan ini dipercayai untuk dipasarkan di negeri ini dan luar Kelantan untuk sambutan hari raya akan datang," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata tiada sebarang tangkapan dilakukan manakala barang rampasan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang lain bagi tindakan selanjutnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain