suria

Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Pembebasan 4 Tahanan ISA

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa penahanan empat lelaki termasuk tiga warga Sri Lanka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dipercayai menganjurkan sindiket penyeludupan manusia, adalah sah.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan mereka selepas memerintahkan bahawa tidak ada merit terhadap isu yang dikemukakan oleh peguam mereka, Gobind Singh Deo.

Dua hakim lain ialah Tan Sri Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Heliliah Yusof.

M. Muniandy, warga Malaysia dan tiga warga Sri Lanka Heerath Firnas Omar Haja, Thavabal Nagan dan Anthony Sanckaras Natkunam mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan writ habeas corpus mereka pada 26 Mei lalu untuk memohon pembebasan dari tahanan ISA.

Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan mereka ditahan di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping, selama dua tahun.

Perintah itu dikeluarkan pada 5 Nov tahun lepas mengikut Seksyen 8 (1) Akta ISA.

Dalam afidavit balas yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri, katanya beliau berpuas hati bahawa perayu dipercayai terbabit dalam aktviti yang boleh mengancam keselamatan negara.

Mereka dipercayai menjadi ejen pembekal kepada sindiket itu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat transit dan membawa masuk, membekal dan menyembunyikan 62 warga Sri Lanka.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, mereka dipercayai telah bersuhabat dengan sindiket itu untuk membeli dua buah bot bagi tujuan menyeludup warga Sri Lanka melalui jalan laut ke Christmas Island di Australia tanpa dokumen perjalanan.

Gobind berhujah bahawa Menteri Dalam Negeri tidak mematuhi kaedah-kaedah prosedur berhubung pengeluaran dan penyampaian perintah tahanan terhadap perayu.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata, tidak memasukkan kaedah tidak mematuhi dalam Seksyen 11 Akta ISA seperti dihujah oleh Gobind itu tidak menjadikan perintah tahanan itu tidak sah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain