suria

Lima Sekeluarga Maut Nahas Jalan Raya Di Telupid

SANDAKAN: Lima sekeluarga maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler minyak sawit di Simpang Ladang Reka Halus Telupid, kilometer 84 Jalan Sandakan-Telupid kelmarin.

Mereka yang maut itu adalah Sapura Abdullah, 52, tiga anaknya, Rusip Lakin, 33, Mohd Ariffin Lakin, 24, dan Hasnah Lakin, 15, serta cucunya Nurdell Asniera Haniesah Haidir, 8.

Kesemua mereka mati di tempat kejadian dan mayat mereka yang tersepit dalam kereta yang remuk itu dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dari balai Sandakan, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada pukul 6 petang ketika kereta yang dipandu Mohd Ariffin, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar dalam perjalanan menuju ke arah Kota Kinabalu, manakala lori itu dari arah bertentangan.

"Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kesemua mayat mangsa yang tersepit itu," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua mayat dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.

Polis Trafik Beluran berkata, pada mulanya berlaku kesilapan nama seorang daripada mangsa yang terbunuh itu kerana kad pengenalan Lakin Suyung ditemui pada mayat Rusip Lakin.

Ketua Polis Beluran, Deputi Supritendan Sivanathan Velautham berkata, bagaimanapun anggota keluarga mangsa mengesahkan Lakin telah meninggal dunia dua tahun lepas.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain