suria

Kerajaan Selangor Tidak Jaga Khazanah Sendiri

KUALA LUMPUR: Isu korek pasir di Selangor terus hangat diperkatakan di Dewan Rakyat hari ini sehingga mengundang sedikit perdebatan di kalangan anggota dewan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas ketika menggulung Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 berkata pengeluaran lesen bagi aktiviti pelombongan pasir adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Pasir tak ada kena-mengena dengan rang undang-undang ini. Bagaimanapun kuasa untuk keluarkan lesen pasir adalah (bidang) kuasa kerajaan negeri. Kuasa untuk mengawal dan memastikan perjalanannya baik dan kuasa mengawal tak ada pencurian pasir juga di bawah kerajaan negeri.

"Kalau masalah berlaku di Selangor, maka kerajaan negeri yang tidak melakukan tugas untuk menjaga khazanah negeri itu sendiri," katanya menjawab soalan Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Lo' Lo' ketika mencelah pada penggulungan itu bertanyakan apakah peranan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis hutan dalam memantau kegiatan curi pasir di negeri itu.

Unggah bagaimanapun menyanggah pertanyaan anggota Parlimen itu dengan menyatakan bahawa penguatkuasaan terhadap aktiviti itu perlu dilakukan oleh pegawai kerajaan negeri tersebut.

Sebelum itu, isu yang sama turut disuarakan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang mengaitkannya dengan kemusnahan habitat hidupan liar.

"Kebanyakan perkara yang dibincang dalam ini (Parlimen) akhirnya nanti menteri akan jawab ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Isu ini berlarutan dan ada sesetengah kerajaan negeri yang tak bertanggungjwab melakukan pemusnahan hutan, menggondolkan hutan akhirnya kita tidak dapat melindungi hidupan liar, begitu juga soal tanah, ia di bawah kuasa kerajaan negeri.

"Apa yang berlaku di sesetengah kerajaan negeri, pemusnahan kawasan wetland juga berlaku di mana habitat hidupan liar yang sepatutnya kita jaga dan lindungi dengan undang-undang ini tetapi tidak dapat kita jayakan sepenuhnya.

"Misalnya sekarang ini sedang berlaku di Selangor apabila gerakan melombong pasir secara besar-besaran berlaku. Ia menghapuskan habitat yang sepatutnya dilindungi," katanya.

Persidangan dewan disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain