suria

Kastam Rampas Rokok & Peti Sejuk Bernilai RM3 Juta

KUALA LUMPUR: Kastam Diraja Malaysia merampas rokok putih, rokok keretek dan peti sejuk bernilai lebih RM3 juta termasuk cukai di dua lokasi berasingan.

Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Kuala Lumpur, Ajib Busro berkata, serbuan pertama di sebuah premis di Bandar Kinrara Industrial Park Puchong pada 3 petang semalam membawa kepada penemuan 31,000 karton rokok putih jenama Zon King dan rokok keretek jenama LA Mentol Light yang disyaki belum mendapat kelulusan kastam.

"Pasukan kita telah membuat intipan selama dua hari secara bergilir-gilir. Oleh sebab tiada apa-apa pergerakan berlaku di kawasan premis itu, ketua pasukan telah arahkan anggotanya membuat tinjauan ke dalam premis itu secara rahsia.

"Hasil pemeriksaan didapati nilai barangan ialah RM332,080 yang melibatkan cukai sebanyak RM2,842,296.80. Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pegawai penyiasat kastam sedang berusaha mengesan pemilik premis itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Dalam serbuan kedua, seorang lelaki bertindak sebagai eksekutif gudang ditahan selepas pihak kastam menemui 145 unit peti sejuk berjenama 'TEKA' yang disyaki diimport tanpa permit daripada pihak Jabatan Bekalan Elektrik di sebuah premis Century Total Logistic Sdn Bhd di Pelabuhan Klang.

Katanya, nilai keseluruhan peti sejuk itu sekitar RM202,931.74 dengan nilai cukai sebanyak RM87,260.65.

"Lelaki itu ditahan pada pukul 12.10 tengah hari semalam di premis berkenaan untuk membantu siasatan dan berdasarkan maklumat siasatan kita akan jejaki pemilik premis berkenaan," katanya.

Ajib menambah, kedua-dua kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang berduti dan barang-barang belum lulus kastam.

"Sekiranya disabit kesalahan, individu atau syarikat berkenaan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barangan atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," tegas beliau lagi.

Ajib turut mengingatkan orang awam yang mengetahui berlakunya aktiviti penyeludupan agar tampil memberi maklumat melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau menghubungi terus pejabat kastam yang berdekatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain