suria

Dasar Kepenggunaan Negara Liputi Semua Skop Pengguna - Ismail Sabri

BANGI: Dasar Kepengggunaan Negara yang dijangka diumumkan sebelum akhir tahun ini akan dijadikan garis panduan untuk menangani isu-isu dan masalah kepenggunaan semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dasar tersebut yang sedang dirangka pada peringkat akhir, bakal mencakupi semua isu yang relevan dengan kepenggunaan, termasuk penipuan melibatkan internet dan kes seumpamanya.

Dasar itu, katanya adalah pindaan kepada dasar sedia kerana ia tidak lagi selari dengan kehendak kepenggunaan semasa yang berubah mengikut peralihan zaman dan pemodenan dunia.

"Dasar dulu misalnya tidak pernah meliputi hal-hal berkaitan internet dan penipuan skim cepat kaya atau gores dan menang dan sebagainya, tapi pada hari ini penipuan melalui internet berlaku, jadi dasarnya perlu berubah mengikut keperluan.

"Dulu mungkin tak timbul isu alam sekitar kerana semua orang menjaga alam sekitar dengan baik tetapi isu alam sekitar hari ini menjadi isu utama kerana dunia semakin moden," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan MACFEA ke-14 2010 di sini pada Selasa.

Ismail Sabri berkata dasar tersebut mencakupi keseluruhan isu kepenggunaan bersama pengkelasan yang tertentu, bahkan intipati daripada semua seminar kepenggunaan yang diadakan yang diadun bersama dasar tersebut agar ia lebih mantap dan terperinci.

"Dasar ni kita dah ada, tapi kita teliti semula dan cadangkan pelan tindakan bagaimana nak realisasikan dasar tersebut.

Yang paling penting bukan pengguna sahaja tapi persekitaran perniagaan dan perlindungan pengguna juga kena kondusif supaya pengguna boleh jalankan hak mereka sebagai pengguna.

"Jadi kita cuba melihat dalam dasar ini secara keseluruhan, bukan hanya pengguna sahaja sebab kalau pengguna sahaja diperkasakan tetapi di luar amalan tak beretika masih berleluasa, pengguna tak mampu untuk menjalankan tanggungjawab mereka," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain