Bengkel Kereta Curi Turut Seludup Haiwan Liar - Semasa | mStar

Bengkel Kereta Curi Turut Seludup Haiwan Liar

KUALA LUMPUR: Serbuan polis ke atas sebuah bengkel membaiki kereta yang dipercayai menyimpan kereta curi di Kepong di sini awal hari ini turut membongkar kegiatan penyeludupan haiwan liar.

Selain beberapa ekor kucing hutan, 30 ekor burung termasuk burung cendrawasih dan kakak tua ditemui dalam serbuan pukul 3 pagi di bengkel di Taman Wahyu itu.

"Nilai bagi binatang-binatang ini masih belum diketahui, anggaran awal sekurang-kurangnya sejuta ringgit," kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah pada sidang media di bengkel itu.

Katanya haiwan dan burung itu dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sejumlah 38 kereta pelbagai jenama dan empat buah lori, kesemuanya dicuri, dijumpai dan polis turut menahan seorang lelaki berumur 40 tahun yang dipercayai menjadi "runner" sindiket itu.

"Modus operandi adalah dengan menggunakan dokumen sokongan palsu untuk terima kereta dan lori tersebut yang kebanyakan telah dilaporkan curi atau hilang pada tahun 2008, 2009 dan 2010 di sekitar Lembah Klang," kata Ku.

Katanya polis bertindak selepas menerima maklumat mengenai satu sindiket curi kereta yang menyamar sebagai ejen insurans pemilik kenderaan yang dicuri dan menuntut kenderaan daripada pihak berkuasa.

Polis kini memburu pemilik bengkel tersebut dan seorang pembantunya yang dipercayai dalang sindiket itu.

Ku berkata kesemua kenderaan itu disimpan untuk urusan pertukaran nombor pendaftaran dan hak milik kenderaan.

"Kami turut menemui beberapa komponen-komponen kereta yang telah diuraikan untuk tujuan menjual kepada pihak ketiga", katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain