suria

Zulkifli Enggan Layan Tuduhan Khalid

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bebas dari Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, tidak mahu melayan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Menurut Zulkifli, pemimpin PAS itu tidak layak menerima sebarang komen berhubung entri terbaru beliau melalui blog www.khalidsamad.com yang secara terang 'menyerangnya'.

"Dia tak layak menerima komen daripada saya... malah no comment pun saya tak nak sebut," katanya ringkas kepada mStar Online di sini pada Isnin.

Zulkifli diminta mengulas mengenai tulisan Khalid bertajuk 'Menggigit, tergigit dan digigit' yang menyifatkan beliau sebagai seorang pembohong, parasit dan gila talak apabila baru-baru ini mengakui menghadiri beberapa program ceramah dan forum anjuran PAS.

Malah Khalid yang juga Pesuruhjaya PAS Shah Alam mendakwa tindakan Zulkifli yang terus menerus mengaitkan dirinya dengan PAS bertujuan mendapatkan 'talian hidup' demi survival politiknya.

Selain itu, ditanya sama ada beliau sudah membaca kandungan penuh tulisan Khalid itu, Zulkifli berkata: "Saya tak bacapun, buat apa nak baca... tak ada faedah."

Khalid dan Zulkifli sebelum ini pernah berperang mulut dengan masing-masing mencabar agar keluar parti ekoran polemik penggunaan kalimah Allah awal Januari lalu.

Ekoran itu, Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebulat suara memecat Zulkifli selepas lembaga disiplin parti itu mengambil kira tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalid berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Artikel Lain