suria

Tiga Termasuk Suami Isteri Maut Kemalangan

KUALA KANGSAR: Tiga orang termasuk sepasang suami isteri terbunuh manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Kampung Cuar Kati di sini, semalam.

Mereka yang terkorban dalam nahas pada pukul 10.40 pagi itu ialah pemandu kereta Abdul Hadir Yahya, 53, isterinya, Halimah Nordin, 56, dan seorang saudara mereka Wan Shaibah Ismail, 60.

Kesemua mereka mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, kata Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt Abdul Ghaffar Muhammad.

Beliau berkata dua wanita yang menaiki sebuah lagi kereta turut cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri majlis kenduri kahwin kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan kereta yanag dinaiki dua wanita itu di satu persimpangan, katanya.

Abdul Ghaffar meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain