suria

PKR Cabar KDN, Terbit Suara Keadilan Tanpa Permit

PETALING JAYA: Akhbar Rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan terus mencabar undang-undang dengan menerbit dan mengedarkan edisi terbarunya ke seluruh negara sejak kelmarin walaupun permitnya sudah tamat tempoh.

Malah Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, pihaknya mahu melihat tindakan yang bakal diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perkara berkenaan.

"Sejak petang kelmarin lagi Suara Keadilan sudah keluar (terbit), malah kita dah edar ke seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

"Kita tunggu saja nanti apa KDN boleh buat," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.

KDN sebelum ini memutuskan permit penerbitan akhbar Suara Keadilan yang tamat 30 Jun lalu tidak diperbaharui mengikut Seksyen 5(1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

Suara Keadilan pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu telah menyiarkan berita utama muka depan bertajuk Felda Bangkrap dan empat lagi artikel dalam keluaran sama.

Ekoran itu, kerajaan telah memutuskan untuk menyaman Suara Keadilan sebanyak RM200 juta.

Ditanya sama ada PKR sedia menghadapi tindakan undang-undang berhubung tindakan menerbitkan akhbar tanpa permit, Syed Husin berkata: "Tak apalah... kita tunggu dulu apa mereka nak buat, tahulah kami nanti."

Artikel Lain