suria

Permohonan Wanita Bukan Islam Jadi Peguam Syarie Didengar 2 November

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 2 November ini untuk mendengar permohonan seorang peguam bukan Islam untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pada 14 Mei lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran kepada Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (perintah Mahkamah Tinggi) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima masuk wanita itu sebagai peguam syarie.

Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mei lalu, Martin menuntut satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Majlis Agama melalui Jawatankuasa Peguam Syarie, menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Beliau menamakan Majlis Agama sebagai responden.

Penolong Kanan Pendaftar Halilah Suboh menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas kes itu disebut hari ini untuk pengurusan kes.

Razlan Hadri Zulkifli, peguam yang mewakili Martin, memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga membenarkan permohonan Pejabat Peguam Negara sebagai pencelah dalam prosiding semakan kehakiman tersebut.

Peguam Zulkifli Che Yong mewakili Majlis Agama manakala Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajuddin mewakili Pejabat Peguam Negara.

Martin, 48, memohon antara lainnya satu perintah mandamus bagi mendesak Majlis Agama Islam menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira agamanya.

Beliau juga mahukan satu pengisytiharan bahawa Kaedah 10 daripada Rukun Peguam Syarie 1993, yang memberi mandat bahawa orang Islam sahaja boleh diterima sebagai peguam syarie adalah bertentangan dengan Artikel 8(1), 8(2), 5 dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah kes pertama di Kuala Lumpur mlibatkan seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja yang boleh menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Di Wilayah Persekutuan syarat utama untuk diterima masuk sebagai peguam syarie ialah pemohon mestilah seorang Islam.

Martin, lulusan Diploma Undang-undang dan Amalan Syariah pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak oleh Majlis Agama pada 9 September 2009. - BERNAMA

Artikel Lain