suria

PBB Diminta Dapatkan Pandangan ICJ Mengenai Serangan Terhadap Freedom Flotilla

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meminta Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapatkan Pandangan Nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai serangan Israel terhadap Freedom Flotilla Mei lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Malaysia juga akan mendesak Israel untuk menarik balik dengan segera sekatan terhadap Gaza, yang selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1860.

Ini adalah antara cadangan resolusi yang diterima bagi Malaysia untuk dikemukakan menerusi Sesi Khas Luar Biasa Perhimpunan Agung PBB itu, katanya berucap menutup Persidangan Antarabangsa "Memecahkan Kepungan:Berlandaskan Semangat Rachel Corrie dan Mavi Marmara" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Menurutnya Malaysia menggesa anggota PBB mengadakan sesi khas itu bagi membincangkan isu berkenaan jika seranan daripada masyarakat antarabangsa kepada Majlis Keselamatan PBB untuk menyiasat dengan tidak berpihak dan telus mengikut Piawaian Antarabangsa mengenai serangan Israel terhadap orang awam yang tidak berdosa itu.

Muhyiddin berkata Malaysia juga dalam proses berunding dengan anggota PBB lain khasnya anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) untuk menyokong inisiatif Malaysia menggesa diadakan sesi khas berkenaan.

"Perhatian utama kita adalah, jika sekatan tidak berperikemanusiaan terhadap Gaza sejak Jun 2007 tidak ditarik balik sepenuhnya, akan ada krisis kemanusiaan sebenarnya, yang sangat membimbangkan dan mengancam beribu-ribu nyawa manusia di Gaza," kata beliau.

Katanya umat Islam mestilah mengukuhkan perpaduan yang tidak berbelah bahagi dengan rakyat Palestin dan bertindak bersama untuk menamatkan kekejaman di bumi Palestin itu.

"Ini merupakan tanggungjawab agama bagi semua umat Islam untuk menolak semua bentuk penindasan dan ketidakadilan terhadap manusia sejagat. Apa lagi, jika mangsa penindasan dan ketidakadilan itu adalah sesama umat Islam," tegasnya.

Muhyiddin berkata harapan untuk membebaskan Gaza dan rakyat Palestin tidak akan berhenti, kalau tidak, nasib rakyat Palestin sekali lagi akan dilupakan. - BERNAMA

Artikel Lain