suria

KDN Buat Laporan Polis Suara Keadilan Teruskan Penerbitan

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis telah dibuat berikutan pihak penerbitan "Suara Keadilan" terus mengeluarkan penerbitannya hari ini walaupun permit mingguan itu tamat tempoh sahlakunya pada 30 Jun lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi dalam kenyataan media, berkata laporan berkenaan telah dibuat pada pukul 8 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Katanya, laporan polis itu dibuat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

"Seperti umum sedia maklum, permit "Suara Keadilan" telah tamat tempoh sahlakunya pada 30 Jun lepas dan sehingga kini pihak penerbitan masih gagal mengemukakan jawapan atau penjelasan atau penjelasan kepada dua lagi surat Kementerian Dalam Negeri.

"Malah, pihak penerbitan Suara Keadilan telah berkali-kali mencabar kerajaan dan masih terus juga mengeluarkan penerbitan," katanya.

Hari ini, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus diterbitkan dengan nama baru "Keadilan".

Edisi "Keadilan" yang diedarkan percuma kepada umum dilihat masih memainkan isu Felda walaupun "Suara Keadilan" kini berdepan tuntutan ganti rugi sebanyak RM200 juta ekoran penyiaran berita "Felda Bankrap" yang dianggap fitnah. - BERNAMA

Artikel Lain