suria

Kapal Terbakar: Dua Cedera, Seorang Hilang

KUANTAN: Dua anak kapal warga Myanmar cedera manakala seorang lagi rakan senegara mereka hilang apabila sebuah kapal tangki yang membawa bahan kimia terbakar di lokasi 76.3 batu nautika timur laut di sini, hari ini.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, Komander Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hassan berkata, mangsa yang cedera ialah Wu Nna Htun, 30 dan Tun Tun Win, 39, manakala rakan mereka yang hilang dikenali sebagao Wai Ph Yosan, 23.

Beliau berkata, APMM menerima panggilan kira-kira 11 pagi mengenai kebakaran kecil di Kapal Tanker Chemical yang membawa 22 anak kapal itu.

"Ketika kejadian, kapal yang berpangkalan di Singapura itu dalam perjalanan dari Vietnam ke Pelabuhan Kuantan, di mana kebakaran kecil itu dipercayai berlaku ketika anak kapal sedang membersihkan kapal berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, walaupun api dapat dikawal dengan cepat, kebakaran itu telah menyebabkan dua daripada anak kapal tersebut cedera dijilat api manakala seorang lagi terjatuh ke dalam laut.

Syd Mohd Fuzi berkata, APMM telah menghantar dua kapal penyelamat dengan dibantu sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia ke lokasi kejadian bagi mengesan mangsa yang hilang.

Selain itu, sebuah helikopter turut dihantar untuk membawa mangsa yang cedera ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini. - BERNAMA

Artikel Lain