suria

Demi Mat Afrika, Wanita Kita Sanggup Gadaikan Segala-galanya...

PENULIS sentiasa menaruh minat yang mendalam untuk mengikuti perkembangan warga asing dari benua Afrika di negara kita bukan kerana pada waktu ini Afrika Selatan sedang menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia tetapi kerana ingin sangat mengetahui wanita Malaysia yang macamanakah yang tergila-gilakan mereka sehingga mudah diperdaya dan ditipu. Ini adalah satu fenomena luar biasa.

Baru-baru ini, Penolong Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kuala Lumpur, ACP Rohaimi Md Isa mendedahkan, sekumpulan warga Afrika yang dipercayai ahli kumpulan sindiket yang memperdayakan wanita yang kesunyian telah ditangkap dalam satu operasi khas.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 warga Nigeria, seorang warga Ghana dan seorang warga Ivory Coast. Kesemua mereka dalam lingkungan usia 20an dan 30an. Nak dijadikan cerita, kebetulan pula, ketiga-tiga negara tersebut terlibat dalam Piala Dunia 2010.

Menurut ACP Rohaimi lagi, pihak polis turut merampas 13 komputer riba bersama-sama wang tunai berjumlah RM42,979 dalam serbuan yang dijalankan hasil tip daripada mangsa-mangsa sindiket itu sendiri.

Pihak polis percaya, ahli kumpulan ini mensasarkan wanita berkarier dan menggunakan laman web sosial seperti facebook untuk menjalinkan perhubungan dengan mangsa. Dan kebanyakan mangsa mereka ini menurut polis adalah wanita-wanita yang kesunyian dan inginkan teman lelaki.

Soalnya, mengapa warga Afrika? Di mana kelebihan mereka sehingga wanita-wanita kita mudah benar jatuh cinta dan menyerahkan segala-galanya termasuklah wang ringgit kepada Mat-mat Afrika ini. Dalam satu kes, habis wang simpanan wanita yang menjadi mangsa telah diserahkan kepada Mat Afrika.

Kerana cinta kah mereka sanggup lakukan ini atau kerana apa? Inilah yang menjadi persoalan besar yang ingin diketahui oleh kita semua. Mungkin pihak polis dapat menjelaskan rahsia ini setelah siasatan mereka selesai nanti.

Akhbar penulis sendiri dalam satu laporan khas minggu lalu telah mendedahkan bagaimana warga Afrika ini menyalahgunakan visa mereka untuk mencari mangsa di Malaysia sepanjang tempoh keberadaan mereka di sini. Pada peringkat awal mereka menggunakan pujuk rayu yang sudah pastinya luar biasa kerana wanita-wanita Malaysia ini dengan mudah jatuh ke tangan pemuda-pemuda Afrika.

Apa jampi serapah dan minyak yang mereka gunakan tuhan sahaja yang tahu. Tidak lama kemudian wanita-wanita ini dengan mudah dan tanpa banyak soal mengeluarkan wang sedikit demi sedikit untuk teman lelaki warga Afrika ini. Alasannya duit tersebut diperlukan untuk mengeluarkan bagasi yang kini sedang ditahan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia. Kandungannya ialah berlian dan intan permata dari Afrika.

Apakah berlian yang dikejar oleh wanita-wanita yang menjadi mangsa Mat Afrika ini? Atau mereka melihat ada kehebatan tertentu pada pemuda-pemuda Afrika yang tidak ada pada lelaki Malaysia. Pun begitu, sampai sanggup bergadai golok dan berkorban segala-galanya demi Mat Afrika adalah satu fenomena yang luar biasa yang patut dikaji oleh para saintis saikologi dan sains sosial kita.

Lagi Tentang Mat Afrika...

Dan dalam satu lagi laporan eksklusif akhbar penulis minggu ini (lihat muka 8...), kami telah melaporkan bagaimana Mat Afrika ‘menunjuk belang’ dengan menguasai satu kawasan perumahan di Puchong sehingga menimbulkan ketakutan ke atas masyarakat tempatan.

Mereka ini dipercayai dari kalangan anak-anak orang kaya Afrika yang dihantar ke sini untuk belajar di kolej-kolej dan universiti swasta. Khabarnya kebanyakan mereka dari negara pengeluar minyak, Nigeria. Mereka ini adalah anak-anak tauke minyak Nigeria yang kaya raya. Sebab itulah mereka kelihatan melepak bersama kereta sport dan mewah kerana keluarga mereka mampu menyediakan semua kemudahan itu.

Mereka suka berhimpun pada waktu malam dan berpesta dengan minuman keras di kawasan terbuka dan di hadapan khalayak ramai - satu fenomena yang asing bagi rakyat Malaysia tetapi semakin menular kerana jumlah mereka saban tahun semakin bertambah.

Di Nigeria, anak-anak tauke minyak ini tidak dapat bersuka ria dan berseronok sepertimana di sini kerana negara mereka tidak semaju dan semoden Malaysia walaupun mereka adalah pengeluar minyak keempat terbesar dunia. Ini kerana hampir kebanyakan wang hasil jualan minyak tidak masuk ke kantung negara sebaliknya masuk ke kantung tauke-tauke minyak dan ketua kabilah yang menguasai tanah atau kawasan yang menghasilkan minyak.

Jadi di sinilah mereka benar-benar boleh berpesta dan menikmati kemewahan hasil daripada wang minyak bapa mereka. Di satu kawasan di Seksyen 16 Petaling Jaya, pada setiap hari Jumaat iaitu menjelang tengah malam, Mat-mat Afrika ini bersama teman-teman wanita mereka dari kalangan bangsa Afrika juga akan berkumpul di hadapan sebuah kelab malam dan mereka akan menikmati barbeku. Mereka tiba dengan kereta-kereta sport berjenama mewah dan akan berpesta sehingga awal pagi.

Dan petang Jumaat baru-baru ini, ketika penulis singgah menunaikan solat Jumaat di masjid Damansara Utama, penulis melihat penuh Mat Afrika berkeliaran di sekitar kawasan perumahan Damansara Utama. Apa yang mereka cari? Entahlah...

Artikel Lain