suria

Bung Moktar Fail Hujahan Bertulis

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Muktar Radin telah memfailkan hujahan bertulis berhubung rayuannya terhadap hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Hujahan bertulis itu difailkan pada pukul 2 petang Isnin, di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan disahkan oleh peguam syarie Amli Embong yang mewakili Bung Moktar.

“Hujahan telah difailkan di mahkamah dan sesalinan telahpun diserahkan kepada Pendakwa Syarie selaku responden,” katanya ketika dihubungi Mstar Online.

Pada prosiding 1 Julai lalu, Ketua Pendaftar, Zainor Rashid Hassin menetapkan Isnin untuk Ahli Parlimen yang terkenal dengan kelantangannya di Dewan Rakyat itu memfailkan hujahan secara bertulis.

Pendakwa Syarie juga diarahkan untuk melakukan perkara sama pada 19 Julai ini sebelum pihak-pihak berhujah di mahkamah terbuka pada 4 Ogos depan.

Bung Moktar, 51, memfailkan rayuan itu pada 25 Mei lalu ekoran keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada 19 Mei lalu bagi kesalahan itu.

Semasa itu, Bung Moktar dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 yang telah dijelaskan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Bung Moktar mengaku bersalah atas tuduhan berpoligami tanpa kebenaran, iaitu dengan mengahwini pelakon Zizie Izette A. Samad, 32, pada pukul 8.50 malam, 16 Disember 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 12, Jalan TC2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak, dekat sini.

Zizie Izette, pelakon drama Aduhai Esah turut didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Bung Moktar melakukan kesalahan tersebut.

Artikel Lain