suria

Umno Perjuangkan Nasib Melayu Tanpa Abai Kaum Lain

KAMPUNG GAJAH: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini berkata Umno sebagai sebuah parti memperjuangkan nasib orang Melayu tidak akan meminggirkan kaum lain yang mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia.

Beliau berkata Umno tidak boleh mementingkan hanya orang Melayu kerana akhirnya pepatah "menang sorak kampung tergadai" akan terjadi apabila terlalu mementingkan orang Melayu dan kuasa yang dimiliki hilang kerana tidak mendapat sokongan kaum daripada kaum lain.

Bercakap kepada pemberita selepas persidangan perwakilan Umno Bahagian Pasir Salak di sini, Mohamed Nazri meminta semua anggota Umno berjuang berdasarkan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya Umno merupakan tunggak kepada kepimpinan kerajaan, jika Umno lemah ia akan memberi kesan negatif kepada kestabilan politik dan perpaduan negara.

Mohamed Nazri, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengingatkan anggota Umno supaya tidak mengamalkan agenda politik untuk kepentingan peribadi yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti. - BERNAMA

Artikel Lain