suria

Tabung Haji Sedang Usaha Dapatkan Penginapan Baru Jemaah Malaysia

SUNGAI PETANI: Tabung Haji masih sedang berusaha mendapatkan hotel-hotel baru yang berhampiran kawasan ibadat sebagai tempat penginapan buat jemaah haji pada tahun ini berikutan banyak perubahan berlaku di sekitar Mekah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaaan Arab Saudi masih melaksanakan pengubahsuaian dan menaik taraf banyak kawasan di Mekah.

"Banyak bangunan diruntuhkan untuk dibina baru dan antara yang terlibat ialah bangunan yang digunakan Tabung Haji sebagai hotel tempat penginapan jemaah Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sungai Petani di Sungai Petani Inn di sini, hari ini.

Mengulas persiapan Tabung Haji menghadapi musim haji akan datang beliau berkata gerak kerja haji sedang giat diatur oleh pihak Tabung Haji untuk kemudahan jemaah.

"Saya berharap dan mendoakan agar segala persiapan berjalan lancar dan baik demi keselesaan jemaah kita menunaikan ibadat pada musim haji tahun ini," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain