suria

MIC Sasar Daftar 25,000 Pengundi Baru Menjelang 22 Ogos Ini

KUALA LUMPUR: MIC mensasarkan sekurang-kurangnya 25,000 pengundi baru dari kaum India dapat didaftarkan dalam kempen pendaftaran pengundi yang akan diadakannya pada 22 Ogos ini.

Presidennya Datuk Seri S.Samy Vellu berkata kempen yang akan diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri itu akan turut mendaftar anggota parti yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

"Seramai 120,000 daripada 475,000 anggota MIC dikenal pasti masih belum mendaftar sebagai pengundi, dan ketua cawangan MIC akan diberi senarai nama anggota yang belum mendaftar bagi memudahkan proses pendaftaran itu," katanya pada persidangan media di hari kedua perhimpunan agung MIC di sini, hari ini.

Samy Vellu berkata parti itu juga akan mengadakan satu dokumen untuk anggota parti yang akan diedarkan pada Ogos ini, yang menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam membawa perubahan di kalangan masyarakat India.

"Kami akan mulakan kerja ini pada bulan September sehingga November tahun ini," katanya.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas perhimpunan tersebut, Samy Vellu menafikan dakwaan wujudnya rundingan antara beliau dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang dipecat daripada Parti Progresif Penduduk (PPP), yang didakwa berhasrat menyertai MIC.

"Dia mungkin telah berbincang mengenai isu ini kepada orang lain tetapi sehingga sekarang MIC tiada sebarang rundingan mengenai hasrat Murugiah itu," katanya.

Beliau berkata jika Murugiah menyertai MIC, ia akan membawa masalah kepada Barisan Nasional (BN) memandangkan Murugiah sebelum ini menganggotai PPP, yang merupakan parti komponen BN.

"Datang daripada parti komponen BN lain ke parti lain dalam BN akan wujudkan pertelingkahan di kalangan BN. Kita tidak mahu sebarang pertelingkahan antara kita," katanya sambil menambah MIC perlu mengekalkan hubungan baik dengan parti komponen BN yang lain.

Murugiah yang dipecat daripada PPP pada Mei tahun lepas, telah berkata beliau tidak berminat untuk menubuhkan parti baru dan bersedia menyertai mana-mana parti yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga menyerahkan kepada Najib mengenai kedudukan jawatannya sebagai Timbalan Menteri yang mungkin akan diketahui selepas persidangan Dewan Rakyat selesai pada Khamis depan.- BERNAMA

Artikel Lain