suria

Kondominium Dalam Pembinaan Hampir Musnah Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR: Sebuah bangunan kondominium 38 tingkat yang dalam pembinaan di Jalan Ipoh berhampiran Hotel Vistana hampir musnah dalam kebakaran di sini, hari ini.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada puntung rokok yang dibuang di tempat pembuangan sampah di tingkat bawah bangunan itu.

Kebakaran pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu turut merosakkan dua kereta milik orang awam yang diletakkan berhampiran bangunan itu.

Tayar belakang sebuah Honda Civic terbakar manakala cermin depan dan tepi sebuah Proton Iswara pecah, kata Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sentul Adnan Yem kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata empat jentera, masing-masing satu dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit dan Sentul dan dua dari Hang Tuah bersama 18 anggota mengambil masa 12 minit untuk mengawal kebakaran.

"Api dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 1 petang," katanya.

Beliau berkata punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain