suria

Kestabilan Politik Penting Untuk Capai Status Negara Maju - Muhyiddin

BANDAR SERI JEMPOL: Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti Umno, yang menjadi tunjang parti pemerintah, tidak akan sekali-kali membiarkan pembangkang menganggu-gugat kestabilan politik negara ini melalui tindakan-tindakan mereka yang semakin melampau, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata tanpa kestabilan politik, Malaysia akan huru-hara dan hakikat ini mestilah difahami seluruh rakyat pelbagai kaum negara ini.

Katanya semua rakyat termasuk yang tidak menyokong BN mesti memahami kepentingan kestabilan politik kerana kerajaan mahu mengekalkan momentum pencapaian ekonomi yang sudah dinikmati sejak sekian lama, tambahan pula, Malaysia hanya mempunyai 10 tahun sahaja untuk mencapai status negara maju.

"Inilah kejayaan yang telah kita cipta, sudah pasti Umno yang mendukung kerajaan mahu pertahankan dan pasal itu jika ada pihak yang mahu mencetuskan huru-hara, maka pihak ini amat tidak bertanggunjawab," katanya semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jempol di sini pada Sabtu.

Status negara maju ini akan dapat dicapai jika Malaysia dapat mengekalkan pertumbuhan ekonominya pada kadar enam peratus setiap tahun sehingga tahun 2020, katanya.

Muhyiddin berkata sikap bertanggungjawab dalam melontarkan pendapat dengan mengambil kira sensitiviti dan tidak bercakap atas kepentingan politik, sukuan atau menyentuh hak kepentingan sesuatu pihak terutama yang berkait dengan Perlembagaan, sangat penting.

"Boleh tanya tetapi jangan ungkit," katanya merujuk kepada sikap pembangkang sehingga tergamak mempertikaikan hak Melayu, kedudukan institusi raja, martabat Islam dan kini beralih arah menyerang institusi-institusi negara dengan yang terkini Felda.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kejayaan ekonomi tidak akan tercapai jika negara ini mengabaikan asas ilmu termasuk menguasai bahasa penting dunia seperti bahasa Cina.

Muhyiddin berkata walaupun Jerman maju dengan mengekalkan bahasa ibundanya dalam sebarang urus niaga dan perkembangan teknologi tetapi bangsa itu telah terlebih dahulu menguasai bahasa Inggeris dan kini lebih 200 juta orang di China sedang mempelajari bahasa Inggeris. -BERNAMA

Artikel Lain