suria

Keputusan Ujian Makmal Air Terjun Punca Enam Mati Diketahui Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Ujian makmal sampel air di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran, Pahang berikutan kematian enam penduduk kampung akan diketahui minggu depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Banyak sampel air dari tempat tersebut telah diambil untuk ujian lanjut, kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Doktor dan Ahli Farmasi sebagai Rakan dalam Penjagaan Kesihatan anjuran Persatuan Perubatan Malaysia(MMA) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) di sini hari ini.

Enam penduduk kampung yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu itu yang bermula dari 26 Jun hingga 30 Jun itu dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan bakteria leptospirosis (air kencing tikus) dan melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah) secara berperingkat-peringkat.

Kematian pertama dilaporkan pada 3 Julai lepas dan kematian kedua pada Selasa lepas, dan seterusnya pada Rabu dan Khamis, manakala dua kematian pada Jumaat.

Mengenai cadangan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional, katanya kadar sama rata akan dikenakan dan bukan berdasarkan pada gaji individu.

"Ia tidak berdasarkan pada gaji anda, iaitu makin tinggi gaji anda makin banyak yang dibayar. Ia merupakan satu kadar yang sama rata. Ia adalah satu bayaran yang minimum. Bagaimanapun jika mereka mahu perkhidmatan yang lebih baik berbanding apa yang ditawarkan, mereka terpaksa bayar lebih," tambah beliau.

Liow berkata kementerian itu akan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai sebelum melaksanakan skim tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain