suria

Jangan Hanya Jadi Ahli Umno Tapi Tidak Mengundi

KUALA LANGAT: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menasihatkan semua anggota Umno supaya mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih dan bukan sekadar menjadi anggota parti tetapi tidak mengundi.

"Tidak ada ertinya kalau mereka hanya daftar jadi ahli (Umno) tetapi tidak mengundi. Di Kuala Langat contohnya, seramai 1,490 ahli Umno yang tidak dapat dikesan (status keahlian dan kedudukan).

"Justeru Umno perlu menambat hati mereka untuk menjadi pengundi supaya kekuatan parti dapat dipertingkat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Langat di sini hari ini.

Pada majlis itu Mohd Shafie yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Umno turut menerima pendaftaran 150 anggota baru Umno dari tiga cawangan iaitu Bandar Banting, Taman Damai dan Sungai Rambai Kota.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut mengingatkan anggota Umno supaya menggunakan parti sebagai landasan terbaik untuk memperjuangkan nasib bangsa serta agama dan bukan sebagai tempat untuk merebut jawatan dalam parti.

"Kalau kita amalkan kerja berpasukan, disiplin dan rajin kerja saya yakin kita akan dapat perkuatkan perjuangan parti dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain