suria

Sukan Syarat Wajib Masuk Universiti Awam Wajar - Ahmad Shabery

ALOR SETAR: Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan sukan sebagai satu syarat wajib untuk memasuki universiti awam bukanlah perkara baru kerana sudah banyak negara maju yang melaksanakannya, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata cadangan itu adalah satu perkara yang sangat wajar kerana sukan mengajar seseorang itu membina perwatakan diri dan jika diwajibkan pelajar mengambil bahagian dalam sukan, ia merupakan satu pendidikan yang begitu besar sekali.

"Saya masih ingat di Australia dan Amerika, jika mereka bertanya tentang tahap pendidikan seseorang itu, mereka tidak tanya tentang ijazah yang diterima tetapi mereka akan tanya apakah sukan yang kamu main kerana banyak universiti di sana mengambil kira mata sukan yang disertai untuk mendapat ijazah.

"Jika sesebuah syarikat hendak mengambil pekerja, mereka tidak lihat berapa A yang dia dapat tetapi mereka hendak lihat perwatakan seseorang itu sama ada dia mempunyai personaliti atau tidak, tahap kesihatannya bagus atau tidak dan boleh bergaul dengan orang atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Alor Setar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar The Star hari ini yang memetik Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong sebagai berkata kementerian itu memutuskan untuk menjadikan sukan sebagai syarat wajib memasuki universiti awam dan akan dilakukan secara berperingkat dan sistematik di semua sekolah bermula tahun depan.

Ahmad Shabery berkata pendidikan bukan hanya dalam kuliah dan di perpustakaan semata-mata, tetapi di atas padang pun mempunyai pendidikan yang besar, dan sebagai contoh untuk melahirkan seorang pemain bola sepak yang berkaliber tinggi, ia sesukar untuk melahirkan seorang profesor.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) menubuhkan Model Politik Baru selaras dengan Model Baru Ekonomi.

Katanya cadangan itu dibuat bagi menggantikan Model Politik BN yang dibuat sekitar tahun 1970-an kerana ia sudah tidak sesuai dengan keadaan politik masa kini.

"Jika dahulu ahli Umno hanya akan menjaga orang Melayu, MCA menjaga orang Cina dan MIC menjaga orang India, sekarang ini ia perlu diubah. Keadaan sekarang sudah berubah di mana kita menuntut satu perkara yang lebih jelas iaitu tanpa mengira lagi parti komponen," katanya.

Katanya di peringkat akar umbi pun Umno mesti mengambil berat keadaan masyarakat Cina dan India, begitu juga sebaliknya kerana Umno mahu menghampiri semua lapisan pengundi tanpa mengira bangsa.

"Kita lihat perubahan dari segi pemikiran masyarakat di mana kalau pihak pembangkang seperti calon PAS boleh menang di kawasan yang dahulunya terkenal dengan majoriti Cina dan Cina boleh terima calon PAS, jadi kita perlu berubah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain