suria

Masa Untuk Penyatuan Kini Sesuai, Kata Syed Zainal

KUALA LUMPUR: Proses konsolidasi antara syarikat-syarikat automotif tempatan sesuai dilaksanakan sekarang, terutama ketika industri itu kini mengalami kedudukan terlebih kapasiti.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata konsolidasi merupakan proses yang biasa berlaku di negara lain.

"Saya rasa sekarang adalah masa yang tepat untuk melakukannya. Ia adalah perkara yang baik dan sudah tentu membuat industri automotif kita lebih kompetitif," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam supaya syarikat automotif dalam negara menimbangkan penggabungan sekiranya berlaku terlebih kapasiti dalam industri itu bagi memastikan industri itu terus berdaya maju.

Perdana Menteri berkata hanya syarikat yang berinovatif, yang sanggup melakukan perubahan dan mempunyai model perniagaan yang mampan, sahaja akan benar-benar berjaya pada Alaf ke-21 ini.

Proton yang menyambut ulang tahun yang ke-25 semalam, sehingga kini berjaya mengeluarkan lebih 3.3 juta kereta, mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan selain 1,842 pekerjaan untuk golongan profesional yang bekerja dengan Proton, selain membantu 212 vendor tempatan.

"Sekarang ini, tugas kita adalah untuk berbincang dengan pihak kerajaan mengenai bentuk dan cara untuk kita berkonsolidasi. Saya rasa kalau kita semua sanggup dan sedia berbincang, mungkin benda ini boleh direalisasikan," kata Syed Zainal.

Bagaimanapun, proses konsolidasi ini bakal melibatkan banyak pihak, dan adalah penting untuk semua pihak yang terlibat, duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terhadap cadangan tersebut.

"Kita tidak boleh fikir diri sendiri (kerana) saya rasa ia amat penting kepada negara, kerajaan dan industri. Banyak pihak perlu berbincang dan diharapkan kita dapat mencari penyelesaian cara untuk berkonsolidasi," katanya.

Sementara itu, presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata idea penggabungan itu perlu sesuai dan ia terserah kepada pemegang saham industri itu sendiri.

Katanya masalah terlebih kapasiti itu hanya membabitkan Proton memandangkan pengeluar kereta lain sudah beroperasi dua syif bagi memenuhi permintaan.

Menurut CIMB-GK Research Pte Ltd (CIMB Research), Proton mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan sejuta kereta setahun menerusi kemudahan pengeluarannya di Shah Alam dan Tanjung Malim, namun ia tidak digunakan sepenuhnya.

Firma penyelidikan itu berkata rancangan pengeluar kereta nasional untuk mengeksport, dijangka memenuhi kapasiti terbabit.

Sehingga Mei, Proton menjual 156,653 unit kereta pada 2010 di pasaran tempatan, melepasi sasaran 155,000 unit. Sementara itu, eksport melonjak daripada 17,000 unit pada 2009 kepada 25,000 unit sehingga Mei 2010. - BERNAMA

Artikel Lain