suria

Kerajaan Tidak Hadkan AP Daging Dan Ayam

BERA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan menghadkan pengeluaran lesen Permit Import (AP) daging dan ayam untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini terutama menjelang bulan puasa dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata pihaknya bersedia meluluskan pengeluaran permit kepada mereka yang layak dan memenuhi syarat.

Beliau berkata ketika ini kementerian telah meluluskan 29 AP kepada peniaga di seluruh negara.

"Setakat ini tidak ada satu peniaga pun yang mengimport daging dan ayam kecuali pasaraya Mydin sahaja menggunakan AP tersebut bagi mengimport ayam beku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bera di sini, pada Sabtu.

Katanya ini ekoran peniaga bimbang mengalami kerugian akibat harga barangan kawalan itu tidak menentu di pasaran tempatan.

"Pengimport hendak membawa masuk daging dan ayam dari luar negara ketika harga kedua-dua bahan itu melambung di pasaran tempatan tetapi sementara ia sampai ke negara kita, harga daging dan ayam sudah kembali stabil.

"Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tidak mengimport kedua-dua bahan itu," katanya.

Permit AP dikeluarkan bertujuan memberi pilihan kepada rakyat negara ini membeli daging dan ayam sekiranya menghadapi masalah kekurangan bekalan pada musim tertentu.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi terutama di bulan puasa dan musim perayaan nanti. -BERNAMA

Artikel Lain