suria

Dua Beradik Maut Dirempuh Lori Kontena Di Jelapang

IPOH: Hasrat seorang abang membantu adiknya yang kemalangan di lebuh raya berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dirempuh sebuah lori kontena di tepi Lebuhraya Utara Selatan, di sini pada Sabtu.

Kejadian pada pukul 12.20 tengah hari di Km 272 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Jelapang itu berlaku ketika Tan Ban Sheng, 33, membantu adik perempuannya Tan Woan Yin, 24, yang sebelum itu terbabas di lebuh raya itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata dalam kejadian itu, kereta Proton Saga yang dipandu Woan Yin bersama seorang rakannya, Ng Kok Leong, 20-an, terbabas ke kiri lebuh raya ketika mereka dalam perjalanan dari Johor ke Alor Star.

Kemalangan itu menyebabkan Ng patah kaki dan dihantar oleh orang ramai ke hospital, manakala Woan Yin menunggu di tempat kejadian dan menghubungi abangnya yang tinggal di Sungai Petani untuk mendapatkan bantuan, katanya kepada pemberita.

Beliau berkata abang mangsa yang datang ke tempat kejadian meletakkan kereta di belakang kereta adiknya dan memindahkan barang-barang milik adiknya ke dalam keretanya.

"Ketika mereka berdua berada di luar kenderaan, sebuah lori kontena yang datang dari arah Selatan ke utara di katakan terbabas lalu merempuh mereka menyebabkan kedua-dua beradik itu tercampak ke bawah lori," katanya.

Beliau berkata kedua-dua beradik yang tersepit di bawah lori itu terpaksa dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.

Azisman berkata Tan dan adiknya yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Pemandu lori itu tidak cedera dan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain